Shahidan Kassim
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) me­ngadakan rondaan secara berterusan sejak pencerobohan di kawasan perairan milik Malaysia di Laut China Selatan itu dikesan pada 4 September 2013.
Jelasnya, Malaysia juga me­ngambil pendekatan secara menyeluruh melalui saluran diplomasi dan rundingan dengan pihak China untuk mengatasi masalah pencerobohan tersebut yang berpunca daripada tuntutan bertindih di kawasan perairan berkenaan.
“Dalam Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini, kita dapat lihat kapal tersebut tidak lagi berada di lokasi berkenaan dan telah bergerak ke tempat lain,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Menurut Shahidan, buat ketika ini, sebanyak 17 kapal Maritim Malaysia yang berada di Sarawak, Labuan dan Kota Kinabalu dipertanggungjawabkan untuk rondaan bergilir di kawasan tersebut dan mampu digerakkan ke lokasi dalam tempoh 30 minit selepas menerima aduan.
Katanya, kerajaan merancang untuk membeli kapal-kapal baharu yang mampu melakukan pelayaran sejauh 200 batu nautika bagi menggantikan kapal-kapal Maritim Malaysia yang kebanyakkannya berusia lebih 40 tahun.
Beliau memberitahu, beberapa insiden telah dilaporkan berlaku di kawasan perairan tersebut terma­suk nelayan tempatan diusir keluar oleh kapal peronda negara asing serta batu tanda milik kerajaan Malaysia di Beting Patinggi Ali telah hilang selain kehadiran struktur kayu yang mempunyai tulisan bahasa asing di beting berkenaan.
“Struktur berkayu yang menunjukkan tulisan asing itu sudah pun kita buang dan kita meningkatkan rondaan kita.
“Kita tidak mahu berlawan de­ngan kuasa besar namun kawasan Malaysia yang berdaulat harus dipertahankan, sehubungan itu, kerajaan mengambil tindakan sewajarnya melalui rundingan dan diplomasi,” katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/parlimen/maritim-malaysia-tambah-aset-1.169140#sthash.cpr5XubQ.dpuf